Meluruskan penyelewengan surah al-Ma’arij 70: 40:- Dakwaan ALLah bersumpah dengan kalimat Tuhan Barat dan Timur menunjukkan ada Tuhan selain ALLah.

Assalaamualaikum dan salam hormat.

Seorang yang menyamarkan dirinya sebagai Paulus Rasul telah bertanya kepada penulis di facebook, tentang ayat al-Quran surah al-Ma’arij 7o: 40…Memang bisalah pencerca Islam ini tidak akan berani mempamerkan nama mahupun gambar yang asli.

Ayat ini ditafsirkan bahawa ALLah Taala sendiri bersumpah dengan Tuhan yang lain selain DiriNya. Diertikannya kalimah “uqsimu birabbi…” itu dengan maksud “bersumpah dengan Tuhan-Tuhan…” sedangkan ia jelas menunjukkan kalimat singular bukan plural. Dan dikatakan pula yang berkata itu adalah Nabi Muhammad. Maka ertinya ALLah Taala bersekutu dengan Tuhan yang lain itu untuk menjadikan DiriNya Maha Kuasa, atau juga bersekutu kuasa dengan Nabi Muhammad. Maka kesimpulannya ALLah Taala atau Tuhan Islam tidaklah Esa.

Sebenarnya penyelewengan ini telah beredar lama sebelum ini. Cuma mungkin belum dijawab dengan sempurna.

Sebenarnya ayat ini bukanlah untuk memperkatakan tentang Tauhid tetapi memperkatakan tentang sikap orang kafir dan balasan atas kekafiran mereka yang menentang ALLah Taala.

Berikut adalah tafsir sebenar ayat ini.

_________________________________

Ayat al-Ma’arij 70: 40 ini sebenarnya bermula dari ayat 36 dan berakhir pada ayat 44…

Al-Ma’arij 70: 36

“Apalah gerangan sebabnya orang-orang yang kafir itu kepehak engkau dengan bergegas-gegas…” Apabila Nabi Muhammad datang cepat-cepat datang untuk mendengarkan apa yang akan diperkatkan Nabi kerana maksud kalimat mukhthi’in itu bergegas atau bersegera datang. Mereka datang mendengar bukan untuk beriman tetapi mencari-mencari perkataan RasuluLLah untuk didebat dan dicemuh, dan memperbantahkan.

Al-Ma’arij 70: 37

“Dan dari kanan dan kiri mereka berkumpul berkelompok-kelompok…” Sehabis sahaja mereka mendengar perkataan Nabi, merekapun meninggalkan tempat itu sambil berkumpul lalu mencemuh, menyalah erti dan mempergunjing Baginda. Ia menujukkan tidak percayanya mereka.

Al-Ma’arij 70: 38

“Apakah sangat ingin tiap-tiap seorang diantara mereka bahawa hendak memasuki syurga yang penuh nikmat?…” Timbul pertanyaan ini ialah kerana orang-orang yang mencemuh dan mempergunjing itu merasakan diri mereka berada dijalan yang benar. Sebab mereka mempertahankan ajaran nenek moyang mereka dan tidak mengubah adat istiadat. Nenek moyang menyembah berhala merekapun menyembah berhala juga. Yang salahnya kata mereka ialah Muhammad sebab dia datang hendak merubah pusaka nenek moyang turun temurun. Oleh kerana mereka merasa diatas kebenaran mengamalkan ajaran dan adat istiadat menyembah berhala dari nenek moyang, mereka merasa merekalah yang patut masuk syurga. Maka disinilah datang pertanyaan sinis apakah orang yang mensyirikkan ALLah Taala dan hanya menerima membuta tuli ajaran nenek moyang yang sesat, berhak dan patut masuk syurga yang penuh nikmat? Padahal pekerjaan mereka setiap masa hanya membantah kedatangan kebenaran dari Nabi?

Al-Ma’arij 7o: 39

“Tidak sekali-kali…” Kalla! Tidak sekali-kali. Iaitu bantahan ALLah Taala atas sangkaan mereka bahawa mereka berhak masuk syurga. ALLah Taala membantah sikap mereka datang berkerumun jika Nabi datang hanya untuk mencuba mencari kelemahan, lalu bertebaran membuat kelompok untuk mereka cipta dalih membantah kata-kata Nabi. Bukan orang seperti ini yang akan masuk syurga. Mereka tidak percayakan hari pembalasan. Syurga itu adalah di hari kemudian atau hari akhirat. Bagaimana akan masuk syurga orang yang tidak percayakan hari akhirat, sedangkan syurga itu akan hanya ada di hari akhirat?

“…sesungguhnya telah Kami ciptakan mereka dari apa yang mereka sedia maklum” Semua mereka pasti sedia maklum apa asal mereka, iaitu dua paduan titik mani bapa dan telur ibu.

Al-Ma’arij 70: 40

“Maka bersumpahlah aku dengan Tuhan sekelian timur dan sekelian Barat…” La uqsimu bererti tidaklah aku bersumpah juga bererti ALLah Taala bersumpah atau NabiNya disuruh bersumpah.

Berkata ALLah Taala dengan kalimah bi rabbi…apakah ini menunjukkan ada Tuhan yang lain seelain Dia? Apakah kalimah bi rabbil masyrik wal maghrib itu menujukkan ada Tuhan Barat dan Timur? Tidak sekali-kali kerana ALLah Taala telah menegaskan hanya Dialah Tuhan. ALLah Taala berFirman bermaksud “Akulah ALLah, tiada Tuhan melainkan Aku” dan “Katakanlah, Dialah ALLah Yang Esa, ALLah tempat bergantung, Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tiada suatupun menyamainya”.

Dan kalimah Rabb dalam Falaa uqsimu birabbil masyrik walmaghrib itu menunjukkan satu Tuhan yang menguasai Timur dan Barat. Dialah Tuhan itu tiada lainnya lagi. Dan tidak ada jalan bagi menafsir kalimah itu untuk menunjukkna ia bermaksud dua Tuhan atau ada Tuhan bagi Timur dan ada Tuhan yang lain bagi Barat. Ertinya Tuhan itulah juga Tuhan Timur dan Dia juga Tuhan Baratt, ertinya yang Mencipta Timur dan Barat. Ia sama dengan Ali ayah Hasan dan Husein yang menunjukkan ayah Hasan dan Hursein adalah orang yanga sama, bukan Hasan dan Husein mempynyai ayah yang berlainan.

Mengapakah ALLah Taala menegaskan dengan sumpahnya? Kerana untuk menunjukkan betapa manusia yang mengungjingkan Nabi itu tidak berhak masuk syurga. Mereka tidak berhak sebagaiman kaum Nasrani dan Yahudi tidak berhak kerana mereka mengatakan ALLah Taala beranak. Maka bersumpahlah ALLah Taala sebagai dengan diriNya yang mutlak menguasai Timur dan Barat, bahawa mereka semua itu berangan-angan akibat pendustaan mereka kepada ALLah Taala dan RasulNya.

“…sesungguhnya Kami adalah Maha Berkuasa” Maha Kuasa dalam menetapkan, menggantikan, merubah menurut KehendakNya menurut IlmuNya. Dan tidak ada kuasa lain dan sememangnya tiada untuk mencegah KehendakNya.

Mengapa ALLah Taala menggunakan klimat Kami? Kerana mengacungkan kepada kaum-kaum yang ramai itu…dengan kalimat mereka maka ALLah Taala berkata Kamilah dan kamulah itu… .

Al-Ma’arij 70: 41

“Atas menggantikan mereka dengan kaum yang lebih baik…” Ini adalah ancaman ALLah Taala kepada kaum Quraisy waktu itu dan apa yang diancamkan itu benar-benar berlaku. Pemuka Quraisy yang menentang Nabi seperti Abu Jahal, Wali bin Mughirah dan Abu Lahad bapa saudara Nabi telah tewas. Abu Jahal dan Walid mati dalam peperangan Badar dan Abu Lahab mati kerana serangan jantung apabila mendengar berita kekalahan dalam perang Badar.

“…dan tidaklah Kami didahului” Ertinya tidak ada kekuasaan yang dapat mencegah Kehendak kami jika Kami kehendaki berlaku. Dan tiadalah sesuatu yang mampu mendahului apa yang Kami (ALLah Taala) hendak lakukan.

Al-Ma’arij 70: 42

“Maka biarkanlah mereka tenggelam dan bermain-main…” Mereka semua itu tenggelam dalam keangkuahnya, lalai dalam kesombongannya tidak memerhatikan sekeliling. Mereka merasa dalam kebenaran. Umpamalah mereka seperti kanak-kanak yang bermain-main sahaja.

“…Sehingga mereka akan bertemu dengan hari yang dijanjikan…” Dan terjadilah apa yang dijanjikan ALLah Taala sebelumnya. Perang Badar terjadi dimana 300 Muslim menewaskan 1000 musyrikin. Dengan bongkak mereka ke medan perang dengan keyakinan akan menang kerana yakin dengan jumlah yang besar. Namun yang ditemui ialah kekalahan. Bertemulah mereka janji ALLah Taala menggantikan mereka dengan orang Muhajirin dan Ansar yang lebih baik…dan akan terjadi yang lebih hebat dari itu.

Al-Ma’arij 70: 43

“Pada hari yang mereka akan bersegera keluar dari kubur…” Ketika serunai sengkakala dibunyikan, mereka akan segera bangkit dari kubur. Mereka harus segera kerana panggilan sangkakala tidak boleh dilengahkan. Dan mereka akan digiring dengan keras oleh Mala’ikatTuhan.

“…seakan-akan mereka datang kepada berhala berduyun-duyun” Jika direnungkan dengan baik, nampaklah perbandingan dengan ayat 36. Mereka berduyun-duyun mendatangi Nabi untuk untuk mencari butir kata buat di cerca dan digonjeng, dan sekarang mereka berduyun-duyun lagi datang menghadap ALLah Taala untuk ditanyakan satu persatu perbuatan mereka di dunia. Di dunia mereka berduyun-duyun mendatangi untuk menyembah berhala dengan kyusyuk , di akhirat mereka berduyun-duyun untuk menerima kemurkaan dan pembalasan ALLah Taala atas kedurhakaan mereka itu.

Al-Ma’arij 70: 44

“Dalam keadaan menunduk pandangan mereka, diliputi kehinaan…” Mereka mendatangi ALLah Taala dalam keadaan menunduk ke bumi. Muka tidak mampu diangkat kerana rasa bersalah. Terasa hina jauh dari ALLah Taala kerana tiada amal dan pendirian hidup yang dapat dijadikan sandaran untuk menghadapi pengadilan ALLah Taala.

“…itulah hari yang pernah diancamkan kepada mereka” Mereka pernah diancam jika mereka masih engkar, mereka akan digantikan dengan umat yang lebih baik. Mereka telah digantikan dengan orang Muhajirin dan Ansar namun mereka masih engkar dan masih tidak memperdulikan ancaman itu walau ia telah terbukti berlaku. Maka wajarlah menerima kehinaan di hari pengadilan Tuhan.

Wassalam.

Sumber : http://shahil.wordpress.com/

1 Komentar (+add yours?)

  1. djyo6
    Okt 28, 2012 @ 09:55:26

    assalamu’alaikum wr wb
    nambahin,dlm ;bhs arab memang ada gaya bhs yg menunjuk orang pertama(yg ;ber;bicara ) seolah2 sbg org ketiga

    Balas

Tinggalkan komentar